26 July 2023
ZAYAN dan MyCARE teruskan misi ibadah korban di Nepal
Video dokumentari tersedia di YouTube ZAYAN
ZAYAN dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), pertubuhan kemanusiaan bukan kerajaan, diwakili oleh Anas Tahir, personaliti ZAYAN Pagi, bersama sukarelawan dari MyCARE telah menyalurkan 30 ekor kerbau menerusi ‘Misi Qurban @ Nepal’ kepada penduduk kampung di dua daerah termasuk Rajbiraj dan Zandaur, pada bulan Jun lalu.
‘Misi Quban @ Nepal’ dilengkapi dengan sembilan hari perjalanan bersama Anas dan sukarelawan dari Malaysia ke Nepal, dimulakan dengan proses pencarian haiwan untuk penyembelihan, diikuti pelaksanaan menyembelih dan seterusnya proses memasak daging sembelihan yang merangkumi pelbagai menu serta pengagihan daging korban kepada masyarakat setempat. Misi yang dijalankan ini mendapat sokongan dan bantuan daripada 200 dermawan daripada Malaysia dan agensi-agensi setempat yang ingin meraikan sambutan Aidiladha bersama penduduk di Nepal.
Selain berkongsi rezeki, ‘Misi Qurban @ Nepal’ berfungsi sebagai platform pertukaran budaya dan persefahaman. Interaksi antara sukarelawan dan masyarakat setempat dipupuk menerusi sikap hormat-menghormati sesama manusia. Melalui pengalaman, cerita dan perbualan yang dikongsi oleh masyarakat di Nepal, jambatan pertalian telah terbina dan mengukuhkan hubungan persaudaraan.
Peminat ZAYAN boleh turut menyaksikan dokumentari perjalanan Anas bersama sukarelawan yang memberi gambaran sebenar kehidupan di Nepal, serta pengalaman menjayakan ‘Misi Qurban @ Nepal’, menerusi video berdurasi 20 minit, disediakan di platform YouTube ZAYAN.
Untuk maklumat lanjut, layari zayan.syok.my atau ikuti platform media sosial.
Ulasan Anas Tahir, Personaliti ZAYAN
“ZAYAN dan MyCARE amat berbesar hati dapat merealisasikan Misi Qurban dengan menyalurkan sumbangan 30 ekor kerbau kepada masyarakat Islam di Nepal. Persiapan dan penyedian Qurban dilakukan sendiri oleh sukarelawan yang terlibat dengan bantuan daripada agensi setempat. Kami berterima kasih kepada dermawan-demawan yang terdiri daripada 200 rakyat Malaysia di atas sumbangan mereka untuk menjayakan misi ini. Banyak pengalaman dan perkongsian baharu yang diperoleh menerusi perjalanan kami di bumi Nepal, dan peminat dapat menyaksikannya menerusi sebuah dokumentari khas yang telah disediakan di YouTube ZAYAN.”