Enquiries Enquiries

 

PRESS RELEASE

 

SINAR Cemerlang, ZAYAN Berjuang: Perlawanan Persahabatan Sepak Takraw Eratkan Hubungan Penyampai

 

 

sinar-zayan.png

Shah Alam, 17 Oktober 2024 – Astro Radio telah menganjurkan perlawanan persahabatan sepak takraw antara dua stesen radio popular, SINAR dan ZAYAN, yang berlangsung di Pusat Matsushita, Shah Alam. Perlawanan ini menyaksikan pasukan Sinar, diwakili oleh trio popular Pagi Di Sinar iaitu Jep, Rahim, dan Ray, berentap dengan pasukan Zayan yang diwakili oleh penyampai Zayan Pagi iaitu Mawi, Anas Tahir, dan Faisal Ismail.

Pertandingan berlangsung dalam tiga pusingan yang penuh sengit dan mencabar, namun pasukan SINAR  berjaya meraih kemenangan dengan persembahan yang mantap dan penuh strategi. Aksi luar biasa yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan berjaya memukau penonton yang hadir memberi sokongan.

Pengurus Saluran Zayan, Wan Syarul Amri, berkata walaupun pasukan Zayan tidak berjaya membawa pulang kemenangan, acara sukan seperti ini penting dalam mengukuhkan hubungan antara penyampai radio di bawah Astro Radio.

"Saya akui bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukan Pagi Zayan, yang bermain bersungguh-sungguh dalam perlawanan ini. Namun, rezeki berpihak kepada pasukan Sinar yang menunjukkan aksi hebat dan penuh mantap sepanjang perlawanan.

"Acara sukan persahabatan seperti ini wajar diteruskan pada masa akan datang, bukan hanya melibatkan Sinar dan Zayan, tetapi juga stesen-stesen radio lain di bawah naungan Astro Radio. Aktiviti seperti ini bukan sahaja membantu mengeratkan hubungan antara penyampai tetapi juga mampu mengurangkan tekanan dalam kerja harian, sambil terus menghasilkan kandungan terbaik untuk pendengar setia kami.

"Syabas dan tahniah diucapkan kepada pasukan Sinar atas kemenangan mereka, dan saya harap Zayan akan kembali lebih kuat di masa akan datang,” tambahnya lagi.

Objektif perlawanan ini adalah untuk memupuk semangat kesukanan dan kerjasama di antara penyampai radio daripada stesen yang berbeza, selain menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan. Perlawanan ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim antara warga kerja Astro Radio dalam suasana yang santai dan penuh keceriaan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan terkini dan aktiviti, layari laman media sosial rasmi SINAR & ZAYAN.

 pr-info.png

 
Enter security code:
 Security code