Astro Audio melalui inisiatif Astro Kasih ESG berjaya menganjurkan acara larian mesra alam, Rimba Kita Run 2024, yang berlangsung di Taman Wetland Putrajaya pada 23 November 2024. Acara ini berjaya menarik penyertaan lebih 1,200 peserta dari pelbagai lapisan umur dan latar belakang.
Larian yang diadakan saban tahun ini mencatat sejarah apabila berjaya mengumpulkan dana lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Dana yang terkumpul akan disalurkan untuk usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di bawah inisiatif Rimba Kita, termasuk kerjasama strategik dengan organisasi seperti Worldwide Fund for Nature (WWF) Malaysia, UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), Taman Tugu, dan Global Environment Centre.
Acara ini turut mendapat sokongan daripada penaja utama seperti Kaon, Alphabet Capital, dan Huawei Cloud, di samping penaja lain seperti Salad Atelier, Love Nature, Asics, dan Snappymob. Sokongan tambahan juga hadir daripada rakan seperti Bulan Sabit Merah Malaysia (MRC), Persatuan Orang Buta Malaysia, Teach For Malaysia (TFM), ISSF Sport Stacking Malaysia, Cenviro, dan Decathlon.
Istimewa tahun ini, barisan penyampai Astro Audio seperti Faisal Ismail, Faliq, Gebo, dan Safee Sali turut serta, menambah kemeriahan acara dengan kehadiran mereka. Selain acara larian, aktiviti lain seperti pameran produk terkini Astro, pemeriksaan kesihatan percuma, dan permainan untuk kanak-kanak turut diadakan, menjadikan acara ini mesra keluarga dan mendidik tentang kepentingan kesihatan serta alam sekitar.
Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, Astro terus menyokong penyiaran kandungan berkait alam sekitar, penajaan serta penanaman pokok secara berkala. Acara Rimba Kita Run menjadi platform penting dalam mendidik masyarakat tentang usaha menjaga alam sekitar sambil menjalinkan hubungan erat bersama komuniti.
Astro mengucapkan terima kasih kepada semua peserta, penaja, rakan kongsi, dan rakan media yang bersama-sama menjayakan acara ini. Semoga usaha ini menjadi langkah penting ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan untuk generasi akan datang.