Kuala Lumpur, 30 Ogos 2024 – Penyampai popular rancangan 3 Pagi ERA, Nabil, Azad, dan Radin, akan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan mengambil bahagian dalam perbarisan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos ini. Buat pertama kali, trio ini akan menyertai perarakan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sebuah agensi keselamatan yang bertanggungjawab dalam menjaga kedaulatan perairan negara.
Perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang bertemakan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka,” adalah acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat. Penyertaan Nabil, Azad, dan Radin dalam skuad perbarisan APMM tidak hanya memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman sebagai anggota badan uniform, tetapi juga sebagai satu cara ERA untuk mempersembahkan sesuatu yang unik sempena sambutan bersejarah ini.
Radin (Kiri) bersama anggota APMM dalam persiapan perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-67
Pengurus Saluran Radio ERA, Azah Sahrin, berkata, “Pemilihan penyampai 3 Pagi ERA untuk menyertai perbarisan bersama APMM adalah keputusan yang tepat, kerana ia memberi mereka peluang merasai sendiri pengalaman sebagai anggota keselamatan negara. Kami ingin tampil kelainan untuk sambutan kali ini, dan penyertaan dalam perbarisan ini adalah cara terbaik untuk menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan.”
Sebelum menyertai perbarisan, Nabil, Azad, dan Radin menjalani latihan intensif selama dua hari bersama APMM, di mana mereka diberi tunjuk ajar cara-cara berkawad dan memakai uniform APMM dengan betul. Pengalaman ini memberikan mereka perspektif baharu tentang disiplin dan tanggungjawab sebagai anggota keselamatan.
Nabil Ahmad, salah seorang penyampai 3 Pagi ERA, meluahkan rasa teruja dan bersyukur atas peluang yang diberikan. “Memakai uniform APMM dan berkawad bersama mereka adalah satu pengalaman yang luar biasa. Aura yang dirasai tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, dan saya sangat berterima kasih kepada APMM atas tunjuk ajar serta peluang ini,” katanya.
Orang ramai boleh dengarkan penyampai 3 Pagi ERA setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi hingga 10 pagi. Jangan ketinggalan untuk mengikuti ERA di platform media sosial rasmi mereka untuk berita terkini, kemas kini, dan kandungan eksklusif.