KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, buat pertama kalinya telah melakukan lawatan tidak rasmi ke studio Astro Audioi. Sebelum itu, beliau menghadiri sesi temuramah khas di Astro Awani untuk membincangkan isu dan memberi input berkaitan situasi semasa kes penipuan dalam talian di Malaysia.
Dalam lawatan hampir setengah jam itu, Datuk Seri Shuhaily berkesempatan mengenali lebih dekat operasi dan tugas petugas di Astro Audio. Beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama penyampai dari stesen ERA dan MIX.
Semasa di studio ERA, Pengurus Jenama ERA, Azah Zahrin, memberikan penerangan terperinci mengenai operasi dan segmen yang dikendalikan oleh penyampai ERA. Seterusnya, di studio MIX, penerangan mengenai operasi stesen Bahasa Inggeris itu pula disampaikan oleh Pengurus Jenama MIX, Rosalind Teng. Datuk Seri Shuhaily kelihatan teruja dengan lawatan tersebut dan menyatakan rasa kagum apabila mengetahui Astro Audio mengendalikan 13 stesen radio di bawah satu bumbung.
Selain itu, beliau turut melawat Bilik Berita Astro Radio News, di mana beliau mendengar taklimat operasi unit tersebut dalam mengendalikan segmen berita sebelum disiarkan di stesen-stesen Astro Audio. Datuk Seri Shuhaily menyatakan kepuasan terhadap penerangan yang diberikan, terutamanya berkaitan berita kes jenayah yang sering menjadi fokus utama unit Astro Radio News.
Kami dari unit Komunikasi Astro Audio, mewakili seluruh warga kerja Astro Audio, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain atas kesudian beliau meluangkan masa melawat Astro Audio. Semoga lawatan seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan bagi memastikan pertukaran maklumat antara pihak berkaitan dapat dilakukan dengan lebih lancar dan berkesan.