KUALA LUMPUR – Pengerusi Social & Economic Research Initiative (SERI), Nurul Izzah Anwar, mencipta momen istimewa pagi ini apabila hadir ke konti radio Zayan untuk segmen Pagi Di Zayan bersama penyampai Faisal Ismail dan Anas Tahir. Kehadiran ini menandakan kunjungan pertama beliau ke stesen Zayan bagi berkongsi pandangan mengenai isu semasa, terutamanya berkaitan ekonomi dan perjalanan hidup beliau.
Pengurus Jenama Zayan, Wan Syarul Amri, melahirkan rasa penghargaan atas kesudian Nurul Izzah untuk meluangkan masa bersama Zayan. Beliau menyatakan bahawa kehadiran Nurul Izzah amat signifikan memandangkan pengalaman dan wawasannya dalam membantu rakyat Malaysia, khususnya golongan kelas menengah dan bawahan.
“Nurul Izzah selaku Pengerusi SERI mempunyai kemampuan tersendiri untuk mencari penyelesaian kepada cabaran ekonomi. Fokus beliau terhadap isu kesihatan dan pendidikan amat penting dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” kata Wan Syarul Amri.
Dalam perbualan, Nurul Izzah turut berkongsi pengalaman peribadi yang penuh liku, termasuk kisah keluarganya sewaktu ayahnya, Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadapi ujian sebagai tahanan penjara lebih 20 tahun lalu. Beliau menzahirkan bagaimana cabaran itu membentuk kekuatan dan ketahanan diri untuk terus berbakti kepada masyarakat.
“Setiap pengalaman yang dikongsikan oleh Nurul Izzah sangat menyentuh hati. Pendengar Zayan dapat mengambil iktibar daripada kisah beliau, di samping mendapatkan perspektif yang lebih jelas tentang isu-isu ekonomi semasa,” tambah Wan Syarul Amri.
Beliau juga optimis dengan kemampuan Nurul Izzah untuk terus memacu SERI dalam usaha membantu rakyat yang memerlukan, sambil memberi inspirasi kepada pendengar untuk berhadapan cabaran hidup dengan penuh ketabahan.
Zayan terus komited untuk menyajikan kandungan bermanfaat dan relevan kepada pendengarnya. Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai program, berita, dan aktiviti, ikuti media sosial rasmi Zayan.
WEB : https://zayan.syok.my/