Astro Radio dengan kerjasama Yayasan Astro Kasih telah berjaya melaksanakan kempen KAMI CARE MISI BANJIR dengan jayanya. Bertempat di kawasan parkir LOTUS’S Cheras, kempen ini berlangsung dari jam 10 pagi hingga 5 petang dengan penyertaan hampir 40 penyampai radio daripada 13 stesen Astro Radio, seperti Faizal Ismail, Anas Tahir, Aishah Sinclair, Calista, Isha Norsham, dan ramai lagi.
Melalui kempen ini, sebanyak 4 trak penuh dengan barangan sumbangan (5 tan setiap trak) telah berjaya dikumpulkan hasil daripada usaha komuniti yang prihatin serta sumbangan dari masyarakat sekitar Kuala Lumpur. Barangan yang dikumpulkan termasuk keperluan harian seperti makanan, pakaian, lampin bayi, air minuman, dan peralatan kebersihan yang akan disalurkan kepada mangsa banjir di kawasan yang terjejas.
Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, menyatakan rasa syukur atas sokongan luar biasa yang diberikan oleh rakyat Malaysia.
"Kami amat berbesar hati atas kejayaan kempen ini. Kejayaan ini adalah hasil solidariti masyarakat Malaysia yang sentiasa prihatin dan sedia membantu mereka yang memerlukan. Kami berharap sumbangan yang disalurkan ini dapat meringankan beban mangsa banjir."
Beliau turut menambah bahawa kehadiran penyampai radio pada kempen ini bertujuan memberikan sokongan moral kepada mangsa banjir serta menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama berganding bahu membantu mereka yang memerlukan.
Kempen ini turut mendapat sokongan dan tajaan daripada syarikat seperti PTPTN, Pro Dental, dan Joy Paradise Holidays Sdn Bhd, selain lokasi yang ditaja oleh LOTUS’S Cheras. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula akan memainkan peranan penting dalam proses pengagihan sumbangan kepada mangsa banjir.
Astro Radio dan Yayasan Astro Kasih mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan kempen ini, termasuk para penyumbang, sukarelawan, serta seluruh rakyat Malaysia yang memberikan sokongan. Usaha ini adalah bukti bahawa semangat perpaduan dan keprihatinan masih teguh dalam kalangan kita semua.